Isnin, 21 Januari 2013

PRU 13



Bahang pilihanraya semakin sampai ke kemuncaknya. Ramai penganalisis yang meramalkan bahawa PRU 13 akan diadakan selewat-lewatnya pada Mac 2013. Ini memandangkan tempoh kerajaan yang memerintah akan tamat secara automatik pada April 2013 dan pada masa itu parlimen akan terbubar dan SPR akan memanggil pilihanraya. Namun ramai mengatakan parlimen akan dibubarkan selepas Tahun Baru Cina atau penghujung Februari dan PRU akan diadakan pada Mac 2013 seperti petikan akhbar Sinar Harian di atas.


Pilihanraya kali ini iaitu PRU13 adalah PRU yang paling sengit di dalam sejarah Malaysia sejak mencapai kemerdekaan dari British lebih 50 tahun dahulu. PRU13 ini juga akan menentukan survival politik BN dan UMNO selaku parti pemerintah yang tidak pernah tewas di dalam PRU. Bagi PR (Pakatan Rakyat) PRU13 merupakan masa yang terbaik untuk merampas Putrajaya dari BN. Sokongan terhadap PR juga semakin bertambah berikutan perhimpunan HKR112 (Hari Kebangkitan Rakyat) yang berjalan lancar dan mendapat sokongan ramai.

Namun dalam kesibukan menuju pilihanraya, seperti tahun-tahun yang lalu rakyat masih lagi menghadapi kekangan dalam mendapatkan maklumat. Media-media arus perdana seakan-akan dikongkong oleh pihak pemerintah. Berita-berita yang berunsur sebelah pihak saban hari dipaparkan sejak beberapa bulan ini. Kesahihan berita pula amat diragui dan seakan ada unsur-unsur perkauman yang sempit. 

Ketegangan kaum di Malaysia juga semakin kuat dirasai berikutan berita-berita yang dibawa oleh media arus perdana. Isu kalimah Allah yang setiap hari dialunkan oleh pihak media seolah-olah mengajak rakyat untuk mencetuskan ketegangan antara agama Islam dan Kristian. Memang diakui, strategi menakut-nakutkan rakyat adalah satu strategi yang ampoh untuk menakluki pemikiran pengundi. Ini kerana pengundi yang takut kepada ketidaktentuan politik akan memilih parti yang mempunyai kuasa kini iaitu BN berbanding PR.

Namun strategi ini telah agak lama diaplikasikan di negara ini dan semacam tidak akan berhasil. Ini berikutan perkembangan semasa yang menunjukkan golongan muda adalah golongan yang menginginkan satu kerajaan yang telus dan amanah. Mereka juga perlukan politik yang adil dan tidak bersifat perkauman, kerana sesungguhnya perjuangan kemerdekaan adalah perjuangan bersama antara kaum-kaum di Malaysia, walaupun diakui ianya dimulakan oleh bangsa melayu. Namun kemenangan berhasil menghalau penjajah setelah kaum-kaum ini bergabung tenaga.

PRU13 akan berlangsung pada tahun 2013. Berubahkah Malaysia dalam menuju zaman politik baru. InsyaAllah semua ini adalah ketentuanNya. Tidak perlu takut dengan survival melayu, kerana rencana Allah adalah yang paling sempurna dan yang terbaik untuk kita. Jadi terima dengan redha pihak mana yang akan menang, namun diharap kebenaran akan mencapai kemuncaknya pada PRU13!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan