Isnin, 21 Januari 2013

Kenapa Anwar Ibrahim

Siapa Anwar Ibrahim. Aku mengenali nama ini ketika aku masih di sekolah rendah, dan ketika itu beliau merupakan Menteri Pendidikan Malaysia. Nama ini menjadi popular sekitar tahun 1998 kerana ketika itu Anwar Ibrahim telah dipecat dari jawatan kabinet dan UMNO oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir. Dan pasti ramai yang mengetahui ketika itu Anwar dituduh dengan pelbagai tuduhan. Dituduh meliwat sehingga tilam dibawa ke mahkamah. Aku berumur 14 tahun ketika itu dan aku mengikuti setiap perkembangan kes tersebut. Dan aku akui, ketika itu aku hanya bergantung kepada maklumat akhbar utusan dan berita di tv3.
Heboh ketika itu cerita Anwar Ibrahim yang cuba meminjam dana dari IMF ketika krisis kewangan melanda Malaysia dan akan menyebabkan Malaysia dijajah kembali. Tetapi aku menjadi pelik kerana Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan penyalahgunaan kuasa sahaja, bukan rasuah atau pecah amanah. Ketika itu aku terdetik untuk mencari maklumat lain seperti dari akhbar Harakah, namun aku batalkan kerana pada saat itu Harakah dilihat amat merbahaya. Satu doktrin yang berjaya dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyatnya. Parti pembangkang ketika itu dilihat amat jahat, amat rasis oleh media-media arus perdana menyebabkan rakyat amat takut kepada kebenaran. Rakyat ketika itu amat bergantung harap kepada kerajaan BN semata-mata dan melayu khususnya amat memerlukan UMNO untuk survival.
Namun, menginjak dewasa aku menjadi semakin berusaha mencari kebenaran. Ini kerana aku melihat semacam ada sesuatu yang tidak kena dengan kerajaan BN. Media-media arus perdana saban hari menuduh pihak parti pembangkang dengan pelbagai cerita dan yang menghairankan aku media tidak pernah memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk bersuara. Sedangkan pencuri yang dituduh masih lagi diberikan peluang oleh mahkamah untuk membela diri, kenapa tidak pihak pembangkang? ini amat memusykilkan aku.
Dan ketika Anwar Ibrahim dibebaskan, terdapat satu kebangkitan yang luar biasa di Malaysia. Beliau berjaya menyatukan parti-parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat. Peristiwa debat diantara Anwar Ibrahim dan menteri kabinet Dato' Sri Shaberi Cheek memberi satu pencerahan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda. Ini kerana melalui debat ini, pada pendapat aku Anwar Ibrahim adalah pendebat yang baik dan mempunyai fakta-fakta yang amat releven berbanding lawannya. Ianya juga menunjukkan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan dan pentadbiran kerajaan Malaysia. Disini ramai yang memperolehi pencerahan tentang pihak yang benar dan pihak yang salah.
Dan selepas PRU12, saban hari Anwar Ibrahim diburukkan oleh pihak media arus perdana dengan pelbagai gelaran yang mengaibkan dirinya dan keluarga. Ramai yang mula berfikir "Kenapa Anwar Ibrahim?". Orang melayu ramai yang tercelik dan terjaga. Aura Anwar Ibrahim semakin bertambah akibat fitnah yang melanda dirinya kerana rakyat telah muak disajikan dengan tuduhan yang terlampau banyak sehingga ramai yang berfikir, "betul ke cerita ni?"
Penerbitan Akhbar Sinar Harian merupakan penyelamat kepada media Malaysia yang telah kehilangan etika dalam penyampaian berita. Motto "Telus dan Tulus" amat bersesuain dengan Sinar Harian yang melaporkan setiap kejadian bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. Ini membolehkan rakyat menilai permata dan kaca di padang yang rata.
Dan semalam, Anwar Ibrahim telah memenangi saman fitnah ke atas Dato S. Nallakaruppan. Ini sekali lagi menunjukkan kemenangan kepada kebenaran...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan