Sejarah ringkas Malam al-Qadar: Apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadar yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.
BILAKAH LAILATUL QADAR?
Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.
Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.
Namun, tidak ramai yang ingin menjadi pemburu Lailatul Qadar. Lebih ramai yang mementingkan persiapan hari raya berbanding mempersiapkan diri untuk menemui Lailatul Qadar. Ramai yang tertarik dengan tawaran kedai-kedai pakaian, tawaran potongan 50% di kompleks-kompleks membeli belah berbanding tawaran oleh Allah Yang Maha Pencipta tentang Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.
Tawaran ini hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja tidak pada umat-umat lain. Tidakkah kita menghargai pemberian Allah ini?? tidakkah kita peduli tawaran Pencipta kita?? terlalu egokah kita dengan kecintaan terhadap dunia ini... Seharusnya sebagai hamba, kita perlu merain peluang yang diberikan kepada kita oleh Allah S.W.T. Kita umat Muhammad S.A.W yang majoriti hanya berumur 60 hingga 70 tahun. Amat sedikit yang dapat melebihi jumlah ini berbanding umat-umat Nabi terdahulu seperti Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan lain-lain yang berumur ratusan tahun.
Oleh itu hanya Lailatul Qadar dapat memberikan kita kelebihan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan