Rabu, 31 Julai 2013

SEJARAH TENTERA ISLAM



Sejarah telah merakamkan bagaimana 40 000 orang tentera Islam di bawah pimpinan Khalid ibnu Walid telah berjaya menghancurkan 240 000 tentera Rom di Syria di dalam Peperangan Yarmouk yang terkenal. Walaupun kerajaan Rom mendatangkan bala tentera yang berlipat ganda lebih ramai dan peralatan senjata yang jauh lebih lengkap berbanding dengan tentera Islam. Kemenangan masih berpihak kepada tentera Islam pimpinan Khalid Ibnu Walid.
Mereka kagum apabila melihat bagaimana umat Islam masih mampu mencapai kemenangan yang gemilang sedangkan bilangan tentera, kelengkapan senjata dan kekuatan musuh jauh lebih baik dari apa yang dipunyai oleh tentera Islam. 
Diceritakan, jika tentera Islam ingin menyerang sesebuah negeri, maka sebulan sebelum serangan itu berlaku telah berlaku huru hara di negeri tersebut kerana takut akan serangan dari orang Islam. Ianya berlaku kerana, utusan negara Islam akan datang terlebih dahulu ke negeri tersebut untuk menyeru mereka menerima Islam. Jika mereka enggan, maka mereka perlu menerima sistem Islam dan melaksanakannya di negeri mereka. Dan mereka yang kafir perlu membayar cukai. Jika mereka masih enggan, maka tentera Islam akan datang menyerang. Mendengar ini, akan datanglah kegerunan di negeri itu mengenangkan tentera Islam yang terkenal tentang kehebatan mereka. Tentera Islam yang terkenal dengan kedatangan mereka untuk mati Fisabilillah. Inilah kekuatan tentera Islam yang kini telah hilang.
Kekuatan mereka terbina adalah dari sebab kekuatan iman yang ada di dada-dada mereka di mana mereka bersedia mematuhi apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah Taala dan RasulNya. Mereka mengikut apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Mereka hanya mengabdikan diri kepada Allah di mana mereka penuh yakin bahawa kekuatan yang sebenar itu adalah pada Allah Taala.
Mereka menggantungkan sepenuh harapan kepada bantuan dan pertolongan Allah kerana kepadaNyalah, mereka menyerahkan jiwa raga dan segala urusan mereka.

Di samping itu umat Islam tidak pernah lupa bagi melaksanakan perintah Allah Taala bagi membina kekuatan zahiriah seperti peralatan senjata dan pasukan berkuda yang tangkas. Firman Allah Taala :

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)"  
- Surah al Anfal:60
Pada zaman pemerintahan Saidina Umar , pemimpin tentera Islam, Saad bin Abi Waqqas telah menghantar satu perutusan yang diketuai oleh Rub‘iy bin Amir untuk menemui Rustam yang menjadi panglima tentera Parsi.

Apabila Panglima Rustam bertanya tentang kedatangan tentera Islam ke wilayah Parsi, Rub'iy menjawab,
 "Allah mengutuskan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu di kalangan kamu daripada mengabdikan diri terhadap sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada agama zalim kepada keadilan Islam dan daripada dunia yang sempit kepada dunia yang lapang".

Di atas kekuatan aqidah inilah letaknya rahsia kekuatan dan kemenangan tentera Islam di dalam menyampaikan risalah agama mereka ke serata dunia. Apabila Saidina Umar mengutuskan tentera Islam untuk menghadapi musuh-musuh Allah, beliau berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, 
"Wahai Saad! Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedang bilangan kamu tidak sama seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriyyah yang menentukan kemenangan. Hendaklah kamu yakin bahawa kemenangan ini terletak di atas pertolongan Allah".


Syiah nafi kafan hitam - Sinar Harian

Syiah nafi kafan hitam - Sinar Harian

Al-Buwaitiy (murid Imam Syafie)  bertanya kepada Imam Syafie, 
"Bolehkah aku solat di belakang orang Syiah?" 
Imam Syafie berkata,
 "Jangan solat di belakang orang Syiah, orang Qadariyyah, dan orang Murji'ah "
Lalu Al-Buwaitiy bertanya tentang sifat-sifat mereka,
 Lalu Imam Syafie menyifatkan,
" Siapa saja yang mengatakan Abu Bakar dan Umar bukan imam, maka dia Syiah ". 

(Siyar A'lam Al-Nubala 10/31)



Apakah tindakan para ulama tentang mereka ini???? 
Jika fahaman mereka ini menyeleweng maka terangkan kepada kami, jelaskan kepada rakyat..
Jangan dibiarkan kami meraba-raba mencari jawapan, kerna takut tergelincir..
Terangkan kepada kami, apa kesalahan dan penyelewengan mereka ini berdasarkan Al-Quran, bukan sekadar berdasarkan akal fikiran..
Kerana fikiran manusia terhad keupayaannya..Allah menurunkan Al-Quran untuk membantu manusia menambah keupayaan fikiran...
Berdebatlah dengan mereka di kaca tv, berdebatlah di forum-forum, berdebatlah untuk pencerahan..

HAKIKAT DUNIA ISLAM

Ketika tulisan ini dicoretkan, ketika butang-butang papan kekunci ini ditekan, ketika perut memberitahu otak berapa kalori yang diperlukannya, ada nyawa-nyawa saudara kita yang terkorban di Mesir, yang dibunuh di Syria. Jika di Syria, kekejamannya lebih hebat. Rakyat Syria dibunuh oleh askar mereka sendiri. Kekejaman bashar al assad merupakan sejarah diktator moden yang melakukan sesuatu melangkaui sifat manusia. assad dengan berani membunuh anak-anak kecil, meyembelih mereka, memperkosa wanita-wanita Syria dan membunuh mereka. Kekejaman apakah ini???

Umat Islam dibunuh oleh askar Islam sendiri, dirogol oleh orang Islam sendiri, disembelih oleh orang Islam sendiri, ditanam hidup-hidup oleh orang Islam sendiri... Di mana perikemanusiaan mereka? adakah ini satu bencana yang diturunkan oleh Allah? adakah ini satu peringatan dari Allah???.. apakah Allah tidak memberikan bantuan kepada hambanya...

Seharusnya kita berfikir dengan lebih mendalam mengapa ini semua terjadi. Mengapa Mesir bergolak, mengapa Syria bergolak, mengapa negara-negara Islam bergolak dan tidak aman. Umat Islam kini adalah seperti buih-buih di laut yang hilang dihempas ke batu.. Rapuh ditiup angin laut. Selagi Islam tidak bersatu, kita akan sentiasa menjadi buih-buih di pantai. Sedangkan kita merupakan tamadun yang mencorakkan dunia sekarang. Kita hebat di bidang perubatan, kita hebat di bidang kejuruteraan, kita kuat dalam ketenteraan dan kita kuat dalam mempertahankan ukhwah.. Namun semua itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah..semua itu hanya tinggal di dalam buku monumen sejarah..semua itu hanya tinggal di dalam kenangan hati-hati muslim yang tertindas.

Islam itu layu kerana meninggalkan Al-Quran..Islam itu layu kerana meninggalkan sunnah...Islam itu layu kerana meninggalkan akhirat.. Negara-negara Islam hanya berani membantah melalui surat, melalui sidang media apabila melihat saudara-saudara mereka dibedil di Palestin, disembelih di Syria, dibunuh di Mesir, di bakar di Myanmar. Tidak ada pemimpin Islam yang berani menghantar tenteranya ke negara-negara tersebut. Kita hanya mengharapkan PBB membantu, sedangkan kita tahu PBB diketui oleh orang kafir, diketui oleh amerika yang bersifat sekular, yang bersifat kejam terhadap orang Islam. Pemimpin Islam masih lagi memberi alasan atas dasar ekonomi.. Adakah ekonomi ini bersifat tuhan?? hingga kita takut dan tidak bergantung kepada kuasa Allah Yang Empunya bumi ini???

Andai umat Islam itu bersatu, andai negara Islam itu bersatu pasti kita akan dipandang tinggi dan pasti kita akan digeruni. Andai umat Islam itu berpandukan Al-Quran, andai umat Islam itu berpandukan syariat, andai umat Islam itu berpandukan sunnah pasti kita akan bersatu hati. Tidak berpecah atas khilaf tentang hukum, tidak berpecah atas nama mazhab, tidak berpecah atas nama bangsa kerana kita menyembah Allah Yang Esa. Kita berpecah kerana kita suka mencari perbezaan, bukan mencari persamaan..

Andai hari ini negara kita tidak membantu Syria, tidak membantu Afghanistan, tidak membantu etnik Rohingya, nescaya satu hari nanti jika berlaku perkara yang sama ke atas negara kita, rakyat kita, mereka juga akan menghantar kecaman yang tidak boleh dimakan, kecaman yang tidak boleh menghalang peluru, kecaman yang tidak boleh menangkis mortar dan kecaman yang tidak boleh menghidupkan yang mati...






Wahai pemimpin-pemimpin yang diberi amanah oleh Tuhanmu..Ingatlah kamu, setiap nyawa yang gugur, setiap titik darah yang jatuh dan setiap tangisan yang datang kamu pasti akan ditanya..akan ditanya tentang apa yang kamu telah lakukan untuk membantu saudara-saudaramu..adakah hanya dengan menghantar sekeping atau mungkin berpuluh-puluh keping surat kecaman sambil kamu bergelak tawa menikmati hidangan malammu bersama keluarga..sedangkan saudaramu di sana disiksa oleh orang kafir... Kamu masih lagi boleh bergembira di konsert-konsert sedangkan saudaramu di sana terpekik terlolong meminta bantuan...kamu masih boleh tidur dengan lena, sedangkan saudaramu di sana dihujani peluru dan mortar.. Islam apakah kamu????
















P/S- Kita masih belum menentang tentera syaitan, tetapi kita sedang menentang tentera dajjal. dajjal bukanlah satu individu, bukanlah satu entiti..tetapi dajjal adalah satu kaum yang melebihi kekejaman fitrah manusia. Yang benar menjadi salah dan yang salah menjadi benar. Surga dajjal adalah neraka Allah dan neraka dajjal adalah Syurga Allah.

Selasa, 30 Julai 2013

UMAT ISLAM MENGIDAP PENYAKIT APA?

UMAT ISLAM MENGIDAP PENYAKIT APA?

Oleh: Kassim Ahmad
10 Julai, 2013


            Sejak kejatuhan kota Baghdad pada 1258 di Timur dan kejatuhan kota Toleda pada 1492 di Barat, Islam tidak pernah bangkit-bangkit lagi. Pada abad-abad ke-16 dan ke-17 berlaku Kebangkitan Eropah mengambil-alih pimpinan tamadun dari Islam.

            Seperti yang diketahui, Islam atau deen’ul-Lah, sebuah ideologi atau pandangan hidup Ilahiah, dibanding dengan ideologi-ideologi Liberalisme dan Marxisme yang bersifat insaniah. Seperti yang diketahui juga, ideologi Marxisme sudah runtuh. Ideologi Liberalisme masih bertahan di Eropah Barat dan di Amerika Syarikat, tetapi dia juga sakit tenat.

            Apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang hanya ulangan apa yang telah berlaku di Pakistan, Algeria, Tunisia, Afghanistan dan lain-lain. Mengapa dengan Islam? Inilah soalan yang berlegar di kepala kita.




            Ingat kembali sejarah. Islam itu agama yang dibawa oleh semua nabi dari Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad (yang menamatkan siri para nabi), untuk menyebut  beberapa nama besar saja. Apabila Nabi Muhammad menamatkan siri ini dengan memperkenalkan kepada dunia Islam yang lengkap dan sempurna, dalam masa 60 tahun bangsa Arab yang dulunya tidak terkenal  melonjak naik dari kuasa nol ke kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar Banzantium, dua kuasa besar dunia pada ketika itu. Beberapa sejarawan Eropah, seperti Robert Briffault, George Sarton dan Philip K. Hitti telah mencatat peritiwa sejarah yang menakjubkan ini. Pada waktu itu, Islam merupakan sebuah ideologi revolusioner, tidak takut mati dan mendukung hidup yang aktif, dinamik dan kreatif. Dalam masa lapan ratus tahun, Islam menciptakan sebuah tamadun yang hebat dan besar.




            Tetapi itu sejarah sekarang. Sementara itu apa sudah jadi?

            Dalam kemelut di Mesir sekarang, dua puak besar bertelagah: puak Ikhwan’ul-Muslimin yang berideologikan agama dan puak sekular yang mahu menampung semua jalur ideologi.
Tidak syak lagi, Mohamad Morsi, presiden Mesir dari puak Ikhwan memenangi pilihanraya dan berhak mentadbir Mesir hingga tamat tempohnya. Namun demikian, dalam masa setahun ia telah mencetuskan penentangan terhadapnya dalam bilangan yang ramai sehingga menyebabkan kebuntuan. Untuk merungkai kebuntuan ini, tentera Mesir telah bertindak mengambil-alih kuasa dengan janji akan mengadakan pilihanraya dan mengembalikan kuasa kepada pihak sivil secepat mungkin. Ini jelas tidak dapat diterima oleh puak Ikwan dan mereka bersumpah akan menentang hingga ke titisan darah yang akhir.

            Inilah krisis Mesir. Bolehkah ideologi Islam mengatasinya?




            Telah kita sebutkan kes-kes kegagalan Islam: di Pakistan, Algeria, Tunisia, Syria, Afghanistan dan sekarang Mesir. Mengapa?

            Jawapannya yang ringkas, kerana perpecahan Islam. Perpecahan kepada dua mazhab besar, Sunni dan Syiah, itu perpecahan klasik. Perpecahan sekarang dari kiri ke kanan, dan masing-masing puak taksub kepada puaknya.

Inilah penyakit Islam. Bolehkah ia diobati? Kata arif, tidak ada penyakit yang tidak ada obatnya.

Umat Islam semuanya hendaklah kembali kepada Quran. Quran itu perlembagaan bagi umat Islam. Ia duduk di tempat yang tertinggi. Tidak ada sumber lain yang sama dengan Quran. Sumber lain (hadis, teologi, falsafah dan sains) duduk di tempat kedua. Yang selaras dengan Quran, terpakai; yang bercanggah, tertolak. Inilah formula yang harus dipakai oleh semua orang Islam. Melalui formula ini, Islam akan kembali menjadi ideologi yang relevan dan kuat. Pada ketika itu pasti umat Islam akan bangkit semula.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia

Isnin, 29 Julai 2013

Lailatul Qadar...Malam seribu bulan..

Malam ini merupakan malam ke-21 Ramadhan. Kita telah memasuki fasa terakhir Ramadhan iaitu 10 malam terakhir. Di antara 10 malam terakhir ini akan hadir malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam Al Qadar. Bagi pemburu-pemburu Lailatulqadar mereka pastinya akan melipat gandakan usaha dalam beribadat.

Sejarah ringkas Malam al-Qadar: Apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadar yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.

BILAKAH LAILATUL QADAR?

 Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.

Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.


Namun, tidak ramai yang ingin menjadi pemburu Lailatul Qadar. Lebih ramai yang mementingkan persiapan hari raya berbanding mempersiapkan diri untuk menemui Lailatul Qadar. Ramai yang tertarik dengan tawaran kedai-kedai pakaian, tawaran potongan 50% di kompleks-kompleks membeli belah berbanding tawaran oleh Allah Yang Maha Pencipta tentang Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

Tawaran ini hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja tidak pada umat-umat lain. Tidakkah kita menghargai pemberian Allah ini?? tidakkah kita peduli tawaran Pencipta kita?? terlalu egokah kita dengan kecintaan terhadap dunia ini... Seharusnya sebagai hamba, kita perlu merain peluang yang diberikan kepada kita oleh Allah S.W.T. Kita umat Muhammad S.A.W yang majoriti hanya berumur 60 hingga 70 tahun. Amat sedikit yang dapat melebihi jumlah ini berbanding umat-umat Nabi terdahulu seperti Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan lain-lain yang berumur ratusan tahun.

Oleh itu hanya Lailatul Qadar dapat memberikan kita kelebihan...



Ahad, 28 Julai 2013

Ada kaitan dengan Al-Arqam - Semasa - Sinar Harian

Ada kaitan dengan Al-Arqam - Semasa - Sinar Harian

Melihat kepada berita ini aku teringat akan pergerakan Al-Arqam yang telah menggemparkan negara di era awal 90-an. Aku ketika itu masih lagi bersekolah rendah dan telah tahu membaca. Al-Arqam ketika itu diketuai oleh ketuanya Ashaari Muhammad. Pengikut Al-Arqam ketika itu memang ramai terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada dari golongan profesional dan golongan bawahan.

Yang menarik ketika itu adalah kita boleh mengenali kumpulan ini berdasarkan pakaian mereka. Wanita-wanita mereka akan memakai purdah ketika berada di luar. Mereka juga akan berpakaian menutup aurat yang pada pandangan aku tiada yang salah. Bagi kaum lelaki, mereka akan berserban dan berjanggut bersesuaian dengan sunnah Rasulullah.

Selain itu, kumpulan ini juga terkenal dengan perniagaan yang dijalankan oleh mereka. Mereka mengeluarkan pelbagai produk halal yang diyakini kualitinya. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakkan produk makanan ketika itu di monopoli oleh kaum cina yang sedikit diragui tahap halalnya. Namun semua itu berjaya diatasi oleh kumpulan Al-Arqam ketika itu. Produk yang dikeluarkan oleh mereka amat laris dan syarikat mereka berkembang pesat. Saya masih ingat pada masa itu, ramai yang membeli mee atau meehon buatan mereka. Begitu juga dengan kuewtiaw dan pelbagai barangan lain seperti kordial, biskut dan barangan lain yang sebelum itu amat sukar ditemui hasil buatan orang Islam. Kerajinan dan kepandaian kumpulan Al-Arqam ini mendidik pengikutnya dalam berniaga amat dipuji. Begitu juga dengan semangat ukhwah di kalangan mereka. Pada masa itu juga, mereka telah berjaya membina sekolah-sekolah persendirian untuk anak-anak mereka.

Namun, kemungkinan atas sebab perniagaan (aku terfikir juga) Al-Arqam diharamkan atas alasan sesat. Itu aku sukar nafikan dan sukar untuk aku iyakan kerana aku hanya mendapat maklumat dari sebelah pihak iaitu media milik kerajaan. Mereka diharamkan atas alasan telah menyimpang dari ajaran Islam. Tidak ada penerangan dari pihak Al-Arqam mengenai isu ini ataupun ucapan dari ketuanya Ashaari Muhammad. Sukar untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya. Ini kerana di ketika itu masih belum ada internet seperti sekarang. Apabila diharamkan, maka kesemua syarikat yang mengeluarkan produk makanan diboikot oleh orang Islam, khususnya orang melayu. Berbaliklah mereka membeli makanan dari bukan muslim yang mempunyai cop "Halal" walaupun yang membuatnya bukan Islam. Lama kelamaan syarikat milik ahli Al- Arqam ini terkubur ataupun mereka terpaksa mengubah identiti untuk kembali bersaing.

Mungkin juga mereka menyimpang atas sebab terlalu taksub dengan ketuanya sehingga ketuanya dipengaruhi nafsu. Namun kita tidak boleh menuduh kerana fitnah di zaman ini terlalu besar...

Dialog Imam Abu Hanifah dan Atheis


Soalan Pertama :“Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”
Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :“Allah taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak”
Soalan Kedua :
“ Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”
Al-Imam Abu Hanifah seraya menjawab :
“ Allah taala itu wujud sebelum adanya zaman, Sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya , mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya”
Soalan Ketiga :
“ Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?”
Al-Imam Abu Hanifah menjawab :
“ Kamu pandai mengira?”
Kelompok Atheis itu menjawab :
“ Tentu sekali kami pandai mengira”
Al-Imam Abu Hanifah meneruskan ucapannya:
“Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor 4?”
Mereka menjawab : “ Nombor 3”
Al-Imam Hanifah : “ Nombor sebelum 3?”
Mereka menjawab : “Nombor 2”
Al-Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 2?”
Mereka menjawab : “Nombor 1”
Al-Imam Abu Hanifah : “ Nombor sebelum 1?”
Mereka menjawab : “Tiada”
Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu memberikan penerangan :
“Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sendiri sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada Nombor itu sendiri?”
Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada al-Imam Hanifah. Ternyata mereka silap perkiraan bilamana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.
Persoalan diteruskan.
Soalan Keempat
“Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”
Al-Imam Abu Hanifah : “ Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”
Mereka menjawab : “ Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah”
Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “ Jika cahaya yang diciptakannya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik cahaya langit dan bumi ini sendiri?”
Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada al-Imam Abu Hanifah bersorak kegembiraan . Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.
Soalan Kelima :
“Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?”
Al-Imam sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh Sang Anak Muda.
Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”
Mereka menjawab : “ Tentu sekali”
Al-Imam meneruskan : “ Bilamana orang sakit tadi mati. Bolehkah kamu bercakap dengannya?”
Mereka menjawab : “ Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”
Al-Imam meneruskan : “ Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya , namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”
Mereka tertawa lalu memberikan jawapan: “ Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana ruhnya telah terpisah daripada jasadnya.”
Al-Imam Abu Hanifah tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa ruhnya telah terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk ruh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”
Tertunduk kesemua Atheis tersebut bilamana mendengar persoalan al-Imam Abu Hanifah tersebut. Ternyata olokan mereka sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.
Mereka menjawab dengan keadaan penuh malu : “ Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya”
Al-Imam Abu Hanifah lalu meneruskan bicaranya: “ Jika makhluknya seperti ruh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku. Bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Ruh serta sekalian alam ini?”
Soalan Keenam :
“ Dimanakah Tuhan kamu duduk sekarang?”
Al-Imam Abu Hanifah kembali bertanyakan soalan kepada mereka : “ Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?”
Mereka menjawab : “ Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”
Al-Imam Abu Hanifah seraya berkata : “ Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya , masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini”
Soalan Ketujuh :
“ Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya ( iaitu selepas dihisab oleh Allah taala di padang Mahsyar) namun bilamana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya ( maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)??”
Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lagi lalu menjawab : “ Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor . Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”
Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.
Al-Imam tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan. Kemudian Beliau menyambung bicaranya : “ Nah , kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu”
Soalan Kelapan :
“ Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal”
Al-Imam Abu Hanifah tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab : “ Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”
Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini. Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh al-Imam Abu Hanifah dengan penuh berhikmah.
Baghdad kembali berseri selepas peristiwa tersebut. Anak muda itu semakin dikenali malah terus menerus namanya disebut orang sehinggalah ke hari ini. Walau sudah hampir ribuan tahun beliau meninggalkan kita. Namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang amsih hidup atau yang telah wafat. Al-Fatihah.
*******
Perbualan diteruskan dengan soalan terakhir yang ditanyakan oleh kelompok tersebut kepada Sang Imam bilamana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan : “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”
Maka al-Imam menjawab dengan tenang.
“ Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah.Jawapan hanya boleh diberikan bilamana aku berada di atas mengambil alih tempatmu”
Athies itu lalu bersetuju dengan cadangan al-Imam tersebut. Lalu mereka bertukar tempat. Al-Imam naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.
Bilamana al-Imam sudah berada di atas . Terus beliau menjawab : “ Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan al-Imam ke atas ) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan Atheis tersebut ke bawah)


Sabtu, 27 Julai 2013

Kekalahan Di Bulan Ramadhan

Ramadhan pasti datang mengunjungi umat Islam saban tahun selagi diizinkan Allah Yang Maha Berkuasa. Bulan seribu rahmat yang amat ditunggu-tunggu segelintir manusia dan amat mengganggu bagi segelintir yang lain.
Bulan ini adalah bulan ujian, bulan peperangan bagi melawan hawa nafsu. Bagi menewaskan hawa nafsu yang sebenarnya perlu ditundukkan sebelum kita berperang dengan syaitan. Persiapan sebelas bulan yang lain akan ditentukan keberkesanannya pada bulan ramadhan.. Ramai yang hanya berjaya melawan nafsu menahan makan sahaja. Kerana apabila di waktu berbuka ramai yang akan makan apa sahaja untuk memenuhkan perut. Makan sekenyang kenyangnya.


Di samping itu, jika dilihat di negara kita apabila tiba bulan ramadhan perbelanjaan orang Islam akan bertambah melebihi bulan-bulan yang lain. Mereka akan membeli juadah di bazar-bazar ramadhan dan lebih separuh dari mereka akan membazir. Islam tidak menyuruh kita membazir untuk berbuka. Di sini tertewas sudah kita pada desakan nafsu.


Begitu juga ketika menyambut 1 syawal. Kita akan berlumba lumba memperagakan pakaian baru kononnya untuk menyambut kemenangan berpuasa. Walhal kita telah tewas peperangan dengan nafsu pada hari pertama lagi. Ketika ini juga kita akan beramai ramai berpesta membeli berbagai bagai benda yang mengundang pembaziran. Baju sehingga 3 helai seorang. Kita lupa pada konsep ramadhan dan sambutan syawal. Seharusnya ketika syawal datang, kita adalah berwajah baru kerana telah berjaya menundukkan nafsu.


Syawal juga akan memperlihatkan adat kunjung mengunjung sesama saudara yang seharusnya dilakukan juga di luar bulan syawal. Kini ianya seperti menjadi satu adat hanya meminta maaf sambil menangis hanya pada 1 syawal. Retorik ini saban tahun berlaku terutama untuk bani melayu.




Jumaat, 26 Julai 2013

Multi Level Marketing..

Jika dilihat dari tajuk di atas pasti ramai yang pernah mendengar apa itu MLM. Ianya salah satu cabang di dalam penghasilan pendapatan sama ada secara "part time" atau "full time".. Aku terpanggil dan terdetik untuk menulis mengenai MLM kerana baru sahaja berjumpa salah seorang sahabat aku yang berusaha menjemput aku untuk "join" MLM..

Aku mengenali MLM pada ketika aku masih belajar lagi dan boleh dikatakan aku "masak" dengan sistem tersebut. MLM bukanlah satu kesalahan tetapi bagi aku, ianya bukan sesuatu bidang yang aku perlu ceburi. Ini kerana MLM memerlukan kita mencari "downline" untuk menjana pendapatan dan seperti biasa taktik kereta mewah dan percutian ke luar negara adalah sandaran kelompok ini. Bukanlah ianya suatu kesalahan tetapi bagi aku sistem ini hanya menguntungkan "upline". Walaupun istilah yang berbeda digunakan, keputusan di hujung persamaannya tetap sama. Ianya tetap berbentuk piramid. Bagi individu yang telah menceburkan diri di dalam MLM, faktor keterujaan untuk menjadi kaya akan diterapkan di dalam minda mereka. Seperti sahabat aku, taktik "warming up" digunakan ke atas aku  dengan harapan aku akan menyertai program ini..hehehe


Aku tidak mengatakan MLM ini salah, tapi bukan jiwa aku untuk menyertai perniagaan di dalam sistem ini. Aku lebih redha untuk menjual produk dari rumah ke rumah daripada menjual air liur memujuk orang untuk menjadi downline aku. Kerana aku berpendapat ada sedikit penganiayaan ke atas orang lain jika seseorang itu tidak dapat mencari sesiapa untuk masuk di bawahnya.. 


Strategi yang sering dilakukan adalah dengan menceritakan kejayaan orang-orang atau individu yang telah berjaya pasti akan dilakukan. Seperti contoh si polan yang berjaya mengumpul duit berdigit-digit dalam masa 3 atau 5 bulan berjaya melangsaikan hutang peribadi, berkahwin, beli rumah, beli BMW, berhenti kerja dan lain-lain. Cerita-cerita pemuda yang berumur 20 tahun dengan pendapatan 50k sebulan juga akan didendang-dendang dengan irama yang merdu. Kisah makcik tua yang terkejut dengan pendapatan lumayan apabila "join" MLM juga akan disorak-sorak sehabis nyata.. Ini pengalaman aku sendiri walaupun aku tidak pernah "join" MLM.. Cerita mereka hampir sama cuma nama watak yang berbeza. Yang pasti sebanyak mana pendapatan mereka, air pasti kita bayar asing-asing...hehehe


Ayat tidak perlu bekerja tetapi dapat menjana pendapatan lumayan amat berkesan kepada individu yang berfikir "ingin kaya tanpa usaha". Tetapi mereka tersilap kerana tiada kejayaan yang datang bergolek.. Anda perlu mencari ahli untuk penuhkan poket anda..tetapi pernahkah kita terfikir apabila semua orang masuk MLM di Malaysia apa akan jadi pada orang yang terakhir???


Aku bukanlah pakar ekonomi untuk membincangkan perkara ini.. Tetapi mengikut kajian aku.. "upline" di setiap jenama MLM adalah orang yang sama.. Mereka melompat dari syarikat yang lama kepada syarikat yang baru.. Strategi yang sama cuma istilah pemasaran yang baru..heheh 


Jadi secara jujurnya aku telah kehilangan seorang sahabat kepada MLM sekali lagi. Kerana dia pasti tidak berjaya memujuk aku dan apabila kami berjumpa pandangan kami akan berbeza. Dia pasti lebih suka berbincang tentang wang dan harta. Dan bagi aku wang atau duit bukanlah segala-galanya. Wang memang penting tetapi semakin banyak wang yang kita ada, semakin banyak perkara yang akan terkorban. Ini adalah pasti..
Aku amat bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan pada aku. Tidak pernah terkurang malahan terlebih..


Tujuan aku menulis perkara ini bukan untuk memperlekehkan mereka yang berkecimpung di dalam MLM..tetapi ianya adalah sekadar luahan pendapat dan isi hati aku. Pada yang pernah berjaya tahniah aku ucapkan. Pada yang kurang berjaya, ianya adalah pengalaman anda dan salah satu perjalanan hidup anda yang telah tertulis.. Nikmatilah ia..
Akhir kalam dimana ada kemahuan di situ tersimpan rintangan..akal adalah kunci kejayaan dan nafsu adalah pembuka dan peruntuh jalan...







Hakikat sistem MLM

Rabu, 24 Julai 2013

Taktik Pas tak menjadi di Terengganu - Politik - Sinar Harian

Taktik Pas tak menjadi di Terengganu - Politik - Sinar Harian

PRK Besut semalam dimenangi oleh calon dari BN iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman...Aku memang telah menjangkakan keputusan ini sejak awal lagi.Ini berdasarkan atas beberapa sebab yang mungkin ramai orang Malaysia malas nak fikir. Ini adalah kerana budaya berfikir telah menjadi budaya yang amat asing dan taboo di Tanah Melayu ini. Ramai yang mengikut resmi Hang Tuah walaupun kini ramai yang mengangkat Hang Jebat sebagai wira. Sedangkan mereka patut tahu bahawa Jebat berfikir di luar kotak dengan mengatakan Tuah tidak bersalah atas kajian yang dilakukannya. Bukan bertindak membuta tuli...heheheh

Berbalik kepada isu di atas.. keputusan ini seperti yang aku jangka kerana beberapa faktor:-

1. Yang pertama, seperti yang kita sedia maklum calon PAS Che Long bukan menentang Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman seorang tetapi beliau menentang segerombolan pasukan BN yang terdiri daripada kerajaan Malaysia dan juga Media arus perdana. Bayangkan betapa hebat pasukan yang ditentang oleh calon PAS ini. Kenapa saya menyebut kerajaan Malaysia??? ini kerana menteri-menteri BN dengan sewenang-wenangnya mengumumkan peruntukan kepada penduduk Besut ketika berkempen. Berbagai Jabatan dan Agensi kerajaan mengadakan program di Besut untuk membantu calon BN. Begitu juga bantuan-bantuan kewangan diberi oleh agensi kerajaan kepada penduduk Besut ketika kempen calon BN. Ianya seumpama pasukan futsal menentang pasukan bola sepak padang..

2. Yang kedua, calon PAS juga perlu menentang media-media arus perdana yang dikawal oleh BN. Setiap hari di kaca-kaca tv (tv1, tv2, tv3, ntv7, tv8, tv9) kita hanya melihat program dari pihak BN sahaja dan hanya mendengar keburukan di pihak PAS. Bagi pengundi-pengundi yang hanya bersumberkan siaran tv percuma, sudah pasti mereka akan memilih calon BN. Di pihak PAS dan juga calonnya hanya gambar mereka sahaja yang dapat dilihat..hehehe bercakap jauh sekali..

3. Media cetak juga memainkan peranan. Ini kerana hanya akhbar Sinar Harian sahaja yang memberikan berita secara telus bagi pihak PAS dan BN. Namun seperti yang diketahui, pengedaran akhbar ini amat terhad sekali. Bagi akhbar-akhbar lain iannya adalah amat proBN..bagi aku kredebiliti akbar seperti UTUSAN, BERITA HARIAN dan METRO adalah terlalu rendah dan bagi anak muda berumur sebaya aku adalah amat poyo dan tidak "educated" jika membaca akhbar-akhbar ini...heheheh kerana akhbar-akhbar ini membodohkan pembacanya..jadi bagi sesiapa yang membaca UTUSAN dll silalah bertaubat dan segarkan kembali otakmu...

4. SPR juga memainkan peranan yang cukup baik walaupun telah puas dikeji.. Ketulusan SPR dipertikaikan untuk PRK Besut kerana menetapkan hari pengundian pada hari bekerja. Sesuatu keputusan yang tidak mengambil faktor pengundi dan keadaan semasa. Apabila hari mengundi dibuat pada waktu bekerja, ini menyebabkan ramai pengundi yang tinggal di luar dari kawasan Besut tidak akan dapat membuang undi. Dan seperti yang kita ketahui, pengundi-pengundi luar ini adalah terdiri daripada pemuda-pemuda yang pastinya penyokong PAS dan PR. SPR juga tanpa segan silu dan rasa bersalah menutup sekolah-sekolah yang menjadi tempat pembuangan undi.Adakah ini satu tindakan yang bertanggungjawab?? sedangkan SPR boleh melakukan pada hari lain dan tidak mengganggu sesi persekolahan????

Empat faktor di atas sudah cukup untuk menumbangkan calon PAS secara total. Faktor di atas juga yang menyebabkan BN masih lagi memerintah sejak dulu hingga kini.. Sejak Tanah Melayu sebelum menjadi Malaysia..mereka berjaya mengongkong maklumat dan mengongkong keberanian..

Ratu cantik: Jawi buka kertas siasatan - Sinar Harian

Ratu cantik: Jawi buka kertas siasatan - Sinar Harian

 Islam itu menyeluruh dan bukan hanya sebahagian. Tetapi kini, para bijak pandai agama kebanyakannya hanya mengambil separuh sahaja. Itu yang terjadi seperti petikan berita Sinar Harian. Adakah Pengarah JAWI ini tidak tahu bahawa sebilangan artis di Malaysia lebih teruk cara berpakaian mereka ketika menghadiri majlis Anugerah sebagai contoh ABPH yang lalu. Tidakkah beliau terfikir acara sukan gimnastik juga memperagakan tubuh badan yang juga melibatkan orang Islam. Tidakkah mufti-mufti di Malaysia ingin mengeluarkan fatwa bahawa haram untuk pelakon menampakkan aurat di dalam lakonan. Haram berpelukan antara bukan mahram. 
 Mengapa majlis Fatwa hanya membincangkan berkenaan perkara-perkara yang kecil seperti pengharaman shisha sedangkan masalah sosial terlalu hebat kini, masalah anak luar nikah semakin meningkat, masalah dadah yang tidak kunjung kurang. Sedangkan mereka tahu bahawa negara ini akan hancur jika remaja-remajanya hanya tahu berseronok dan bersosial sahaja. 
 Bagaimana orang bukan Islam akan tertarik dan menghormati agama Islam itu sendiri jika para ilmuan Islam berfikiran seperti ini. Hanya tahu mengharamkan sesuatu yang tidak menguntungkan kerajaan seperti shisha sedangkan arak masih lagi dijual secara berleluasa di Seven Eleven dan juga di super market yang rata-rata pekerjannya adalah orang Islam. Bukan hanya orang bukan Islam akan menjadi keliru, bahkan orang Islam juga akan keliru. Kita telah menjadi terlalu sekular dan terlalu takut dengan pemerintah dan membelakangkan agama. Atas alasan ekonomi, cukai dan lain-lain. Kita juga terlalu menyayangi dunia dan isinya melebihi akhirat.
 Ini adalah sesuatu yang telah lama tidak diterapkan di dalam sistem pembelajaran di Malaysia. Semoga akan hadir ulama' yang ahli di dalam bidangnya kerana ramai yang sebenarnya tidak. Sedangkan di dalam sektor awam perkara ini memang terjadi. Pekerja yang bekerja bukan ahli di dalam tugasnya. Ini adalah penyebab kelemahan agensi kerajaan di Malaysia..
 Semoga Allah memelihara kita dari fitnah Dajjal dan kecintaan terhadap dunia dan isinya....