Khamis, 11 April 2019

Hiduplah di alam realiti sekali sehari


Setelah tidak lama menulis, tangan semakin keras, idea atau ide semakin susut. Tinggal di negara yang semakin hari semakin susut nilai kemelayuannya agak membosankan. Jika anda membaca tulisan ini, bermakna anda seorang yang suka membaca. Untuk orang yang suka membaca, suka penulis mengingatkan agar TIDAK membaca komen-komen netizen di laman sosial. Ini kerana komen-komen netizen akan menyebabkan kamu berada dalam emosi yang tidak stabil.
Politik adalah satu wadah yang jika ditafsir dalam situasi yang salah akan menyebabkan kecelaruan. Kini dapat kita lihat terlalu banyak kecelaruan. Terlalu ramai yang memberikan fakta yang kadang kala kelihatan benar, namun hakikatnya salah. Dan perkara yang salah atau fakta yang salah ini sering dianggap benar. Walaupun kita tahu syarat untuk menjadi baligh itu adalah tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Namun hakikatnya, ramai rakyat Malaysia yang masih lagi belum baligh. Kita seharusnya berlapang dada mengenai beberapa isu, sebagai contoh mengenai isu Tabung Haji yang memberikan hibah terendah dalam sejarah. Isu ini menyebabkan ramai pakar kewangan tidak bertauliah muncul. Walaupun, pakar kewangan Islam Dr Zaharuddin telah memberikan penerangan terperinci mengenainya. Ramai yang mengatakan beliau memberikan fakta yang salah.
Jika kita tidak mempercayai kata-kata seseorang yang ahli dalam bidang tersebut, kepada siapa seharusnya kita percaya??? Ini adalah masalah segelintir rakyat Malaysia. Hanya percaya kepada individu yang memberikan pendapat di kalangan mereka sahaja atau dikalangan kumpulan mereka sahaja. Walaupun pada hakikatnya mereka tahu, siapa yang benar dan siapa yang salah. Namun faktor dalam dalam diri menyebabkan mereka menolak perkara yang benar, ini menyebabkan berlakunya tekanan di dalam diri. Yang menyebabkan berlakunya tekanan dalam hidup. Tekanan ini yang menyebabkan kerunsingan yang serius dalam diri.
Oleh itu biarkan yang pakar atau ahli di dalam bidangnya menyelesaikan masalah tersebut…


Jangan terlalu ingin menjadi pengkritik, atau terlalu ingin menjadi popular dalam alam maya. Hiduplah sekali sekala di alam realiti.

Rabu, 22 Oktober 2014

Setelah lama tidak menulis....

Kita masih lagi di dalam "mood" bercampur baur, kisah anjing, kisah puting beliung, kisah kemalangan penunggang motor besar di Karak dan kisah harga minyak yang naik ketika harga minyak dunia masih lagi terkawal. Sedikit ulasan untuk perkara-perkara di atas mengikut sudut pandang seorang pemuda kampung yang amat cetek ilmu.

I Want To Touch A Dog
Program ini telah mencetuskan satu kegemparan di dalam negara, satu kegusaran di kalangan rakyat dan satu perdebatan yang panjang. Dari sudut pandang yang lain, apabila perkara ini terjadi, maka rakyat Malaysia akan berpusu-pusu mencari maklumat berkenaan hukum memegang anjing menurut Islam. Maka akan ramai ulama' dan ustaz-ustaz akan menerangkan tentang perihal najis mughalazzah ini. Maka secara tidak langsung, perkara yang musykil akan diterangkan. Sememangnya anjing adalah binatang yang perlu di Sertu (basuh dgn 6 kali air + 1 kali air tanah), (walaupun orang kita lebih suka menggunnakan perkataan samak) jika kita memegangnya. Perkara ini adalah mudah, namun mentaliti kaum melayu amat memandang jijik kepada anjing, walaupun anjing juga adalah ciptaan Allah SWT. Anjing atau babi tidak perlu dihina, kerana ianya adalah ciptaan Allah. Namun, kita janganlah memelihara anjing dan babi seperti binatang peliharaan lain. Kerana khuatir akan membebankan kita untuk beribadat lantaran najis yang disebabkan oleh keduanya. Tetapi seperti anjing (babi terkecuali) kita boleh memeliharanya atas dasar untuk menjaga tanaman dan rumah. Tetapi ada cara dan adabnya, jangan kita terlalu memanjakannya, sehingga perlu dicium. Namun kita juga perlu melindunginya, andai ada anjing yang lemas, kita perlu membantunya walaupun terpaksa memeluknya atau memegangnya. Kerana adalah zalim jika kita hanya membiarkannya tanpa membantu sedangkan kita punya kekuatan. 

p/s : Pegang anjing boleh disertu/disamak. Tetapi memegang tangan yang bukan muhrim adalah haram dan berdosa. Ini lebih berat dan tiada siapa yang ambil peduli. Tapi pegang anjing, 1 Malaysia kecoh. Macam mana dengan drama-drama melayu ISLAM yang terang-terang berpeluk dan berpegangan  tangan?? ada siapa yang nak kecoh atau marah??? kita perlu adil dalam hukum Islam. Jangan ambil yang kita suka dan tolak yang kita tak suka.

Puting Beliung
Tiba-tiba dalam dua minggu ini, kita dikejutkan dengan cerita angin puting beliung di Kedah dan di Pandamaran, Selangor. Bermacam-macam andaian yang keluar. Ada yang mengatakan ini adalah kerana program "I Want To Touch A Dog", walaupun hakikatnya perkara itu adalah atas kuasa ALLAH. ALLAH tidak perlu bersebab untuk melakukan sesuatu, kerana DIA MAHA BERKUASA. Namun sebagai hambanya, kita perlu sedar bahawa ini adalah salah satu tanda kecil kiamat yang telah diceritakan oleh junjungan besar Nabi Muhamad SAW 1400 tahun dahulu. Perkara ini juga menidakkan ilmu yang dicapai oleh manusia, kerana ilmu ALLAH itu adalah lebih luas. Kerana sebelum ini saintis menyatakan Malaysia adalah di luar lingkaran gempa bumi, tiada puting beliung, bukan didalam jajaran taufan. Namun semua kajian ini menampakkan sebaliknya. Maka sedarlah kita bahawa, kita adalah selemah-lemah makhluk.

p/s : Siapa kita di bumi ALLAH ini, hanya hamba yang lemah, namun masih lagi terasa ingin menongkat dunia. Masih lagi terasa berkuasa membuat perubahan, sedangkan kita ini hanya pinjaman semata-mata.

-gambar adalah sekadar hiasan-

p/s : cerita pasal minyak malas nak tulis. Sakit hati...heheheheh

Rabu, 31 Julai 2013

SEJARAH TENTERA ISLAM



Sejarah telah merakamkan bagaimana 40 000 orang tentera Islam di bawah pimpinan Khalid ibnu Walid telah berjaya menghancurkan 240 000 tentera Rom di Syria di dalam Peperangan Yarmouk yang terkenal. Walaupun kerajaan Rom mendatangkan bala tentera yang berlipat ganda lebih ramai dan peralatan senjata yang jauh lebih lengkap berbanding dengan tentera Islam. Kemenangan masih berpihak kepada tentera Islam pimpinan Khalid Ibnu Walid.
Mereka kagum apabila melihat bagaimana umat Islam masih mampu mencapai kemenangan yang gemilang sedangkan bilangan tentera, kelengkapan senjata dan kekuatan musuh jauh lebih baik dari apa yang dipunyai oleh tentera Islam. 
Diceritakan, jika tentera Islam ingin menyerang sesebuah negeri, maka sebulan sebelum serangan itu berlaku telah berlaku huru hara di negeri tersebut kerana takut akan serangan dari orang Islam. Ianya berlaku kerana, utusan negara Islam akan datang terlebih dahulu ke negeri tersebut untuk menyeru mereka menerima Islam. Jika mereka enggan, maka mereka perlu menerima sistem Islam dan melaksanakannya di negeri mereka. Dan mereka yang kafir perlu membayar cukai. Jika mereka masih enggan, maka tentera Islam akan datang menyerang. Mendengar ini, akan datanglah kegerunan di negeri itu mengenangkan tentera Islam yang terkenal tentang kehebatan mereka. Tentera Islam yang terkenal dengan kedatangan mereka untuk mati Fisabilillah. Inilah kekuatan tentera Islam yang kini telah hilang.
Kekuatan mereka terbina adalah dari sebab kekuatan iman yang ada di dada-dada mereka di mana mereka bersedia mematuhi apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah Taala dan RasulNya. Mereka mengikut apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Mereka hanya mengabdikan diri kepada Allah di mana mereka penuh yakin bahawa kekuatan yang sebenar itu adalah pada Allah Taala.
Mereka menggantungkan sepenuh harapan kepada bantuan dan pertolongan Allah kerana kepadaNyalah, mereka menyerahkan jiwa raga dan segala urusan mereka.

Di samping itu umat Islam tidak pernah lupa bagi melaksanakan perintah Allah Taala bagi membina kekuatan zahiriah seperti peralatan senjata dan pasukan berkuda yang tangkas. Firman Allah Taala :

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)"  
- Surah al Anfal:60
Pada zaman pemerintahan Saidina Umar , pemimpin tentera Islam, Saad bin Abi Waqqas telah menghantar satu perutusan yang diketuai oleh Rub‘iy bin Amir untuk menemui Rustam yang menjadi panglima tentera Parsi.

Apabila Panglima Rustam bertanya tentang kedatangan tentera Islam ke wilayah Parsi, Rub'iy menjawab,
 "Allah mengutuskan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu di kalangan kamu daripada mengabdikan diri terhadap sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada agama zalim kepada keadilan Islam dan daripada dunia yang sempit kepada dunia yang lapang".

Di atas kekuatan aqidah inilah letaknya rahsia kekuatan dan kemenangan tentera Islam di dalam menyampaikan risalah agama mereka ke serata dunia. Apabila Saidina Umar mengutuskan tentera Islam untuk menghadapi musuh-musuh Allah, beliau berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, 
"Wahai Saad! Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedang bilangan kamu tidak sama seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriyyah yang menentukan kemenangan. Hendaklah kamu yakin bahawa kemenangan ini terletak di atas pertolongan Allah".


Syiah nafi kafan hitam - Sinar Harian

Syiah nafi kafan hitam - Sinar Harian

Al-Buwaitiy (murid Imam Syafie)  bertanya kepada Imam Syafie, 
"Bolehkah aku solat di belakang orang Syiah?" 
Imam Syafie berkata,
 "Jangan solat di belakang orang Syiah, orang Qadariyyah, dan orang Murji'ah "
Lalu Al-Buwaitiy bertanya tentang sifat-sifat mereka,
 Lalu Imam Syafie menyifatkan,
" Siapa saja yang mengatakan Abu Bakar dan Umar bukan imam, maka dia Syiah ". 

(Siyar A'lam Al-Nubala 10/31)



Apakah tindakan para ulama tentang mereka ini???? 
Jika fahaman mereka ini menyeleweng maka terangkan kepada kami, jelaskan kepada rakyat..
Jangan dibiarkan kami meraba-raba mencari jawapan, kerna takut tergelincir..
Terangkan kepada kami, apa kesalahan dan penyelewengan mereka ini berdasarkan Al-Quran, bukan sekadar berdasarkan akal fikiran..
Kerana fikiran manusia terhad keupayaannya..Allah menurunkan Al-Quran untuk membantu manusia menambah keupayaan fikiran...
Berdebatlah dengan mereka di kaca tv, berdebatlah di forum-forum, berdebatlah untuk pencerahan..

HAKIKAT DUNIA ISLAM

Ketika tulisan ini dicoretkan, ketika butang-butang papan kekunci ini ditekan, ketika perut memberitahu otak berapa kalori yang diperlukannya, ada nyawa-nyawa saudara kita yang terkorban di Mesir, yang dibunuh di Syria. Jika di Syria, kekejamannya lebih hebat. Rakyat Syria dibunuh oleh askar mereka sendiri. Kekejaman bashar al assad merupakan sejarah diktator moden yang melakukan sesuatu melangkaui sifat manusia. assad dengan berani membunuh anak-anak kecil, meyembelih mereka, memperkosa wanita-wanita Syria dan membunuh mereka. Kekejaman apakah ini???

Umat Islam dibunuh oleh askar Islam sendiri, dirogol oleh orang Islam sendiri, disembelih oleh orang Islam sendiri, ditanam hidup-hidup oleh orang Islam sendiri... Di mana perikemanusiaan mereka? adakah ini satu bencana yang diturunkan oleh Allah? adakah ini satu peringatan dari Allah???.. apakah Allah tidak memberikan bantuan kepada hambanya...

Seharusnya kita berfikir dengan lebih mendalam mengapa ini semua terjadi. Mengapa Mesir bergolak, mengapa Syria bergolak, mengapa negara-negara Islam bergolak dan tidak aman. Umat Islam kini adalah seperti buih-buih di laut yang hilang dihempas ke batu.. Rapuh ditiup angin laut. Selagi Islam tidak bersatu, kita akan sentiasa menjadi buih-buih di pantai. Sedangkan kita merupakan tamadun yang mencorakkan dunia sekarang. Kita hebat di bidang perubatan, kita hebat di bidang kejuruteraan, kita kuat dalam ketenteraan dan kita kuat dalam mempertahankan ukhwah.. Namun semua itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah..semua itu hanya tinggal di dalam buku monumen sejarah..semua itu hanya tinggal di dalam kenangan hati-hati muslim yang tertindas.

Islam itu layu kerana meninggalkan Al-Quran..Islam itu layu kerana meninggalkan sunnah...Islam itu layu kerana meninggalkan akhirat.. Negara-negara Islam hanya berani membantah melalui surat, melalui sidang media apabila melihat saudara-saudara mereka dibedil di Palestin, disembelih di Syria, dibunuh di Mesir, di bakar di Myanmar. Tidak ada pemimpin Islam yang berani menghantar tenteranya ke negara-negara tersebut. Kita hanya mengharapkan PBB membantu, sedangkan kita tahu PBB diketui oleh orang kafir, diketui oleh amerika yang bersifat sekular, yang bersifat kejam terhadap orang Islam. Pemimpin Islam masih lagi memberi alasan atas dasar ekonomi.. Adakah ekonomi ini bersifat tuhan?? hingga kita takut dan tidak bergantung kepada kuasa Allah Yang Empunya bumi ini???

Andai umat Islam itu bersatu, andai negara Islam itu bersatu pasti kita akan dipandang tinggi dan pasti kita akan digeruni. Andai umat Islam itu berpandukan Al-Quran, andai umat Islam itu berpandukan syariat, andai umat Islam itu berpandukan sunnah pasti kita akan bersatu hati. Tidak berpecah atas khilaf tentang hukum, tidak berpecah atas nama mazhab, tidak berpecah atas nama bangsa kerana kita menyembah Allah Yang Esa. Kita berpecah kerana kita suka mencari perbezaan, bukan mencari persamaan..

Andai hari ini negara kita tidak membantu Syria, tidak membantu Afghanistan, tidak membantu etnik Rohingya, nescaya satu hari nanti jika berlaku perkara yang sama ke atas negara kita, rakyat kita, mereka juga akan menghantar kecaman yang tidak boleh dimakan, kecaman yang tidak boleh menghalang peluru, kecaman yang tidak boleh menangkis mortar dan kecaman yang tidak boleh menghidupkan yang mati...






Wahai pemimpin-pemimpin yang diberi amanah oleh Tuhanmu..Ingatlah kamu, setiap nyawa yang gugur, setiap titik darah yang jatuh dan setiap tangisan yang datang kamu pasti akan ditanya..akan ditanya tentang apa yang kamu telah lakukan untuk membantu saudara-saudaramu..adakah hanya dengan menghantar sekeping atau mungkin berpuluh-puluh keping surat kecaman sambil kamu bergelak tawa menikmati hidangan malammu bersama keluarga..sedangkan saudaramu di sana disiksa oleh orang kafir... Kamu masih lagi boleh bergembira di konsert-konsert sedangkan saudaramu di sana terpekik terlolong meminta bantuan...kamu masih boleh tidur dengan lena, sedangkan saudaramu di sana dihujani peluru dan mortar.. Islam apakah kamu????
















P/S- Kita masih belum menentang tentera syaitan, tetapi kita sedang menentang tentera dajjal. dajjal bukanlah satu individu, bukanlah satu entiti..tetapi dajjal adalah satu kaum yang melebihi kekejaman fitrah manusia. Yang benar menjadi salah dan yang salah menjadi benar. Surga dajjal adalah neraka Allah dan neraka dajjal adalah Syurga Allah.

Selasa, 30 Julai 2013

UMAT ISLAM MENGIDAP PENYAKIT APA?

UMAT ISLAM MENGIDAP PENYAKIT APA?

Oleh: Kassim Ahmad
10 Julai, 2013


            Sejak kejatuhan kota Baghdad pada 1258 di Timur dan kejatuhan kota Toleda pada 1492 di Barat, Islam tidak pernah bangkit-bangkit lagi. Pada abad-abad ke-16 dan ke-17 berlaku Kebangkitan Eropah mengambil-alih pimpinan tamadun dari Islam.

            Seperti yang diketahui, Islam atau deen’ul-Lah, sebuah ideologi atau pandangan hidup Ilahiah, dibanding dengan ideologi-ideologi Liberalisme dan Marxisme yang bersifat insaniah. Seperti yang diketahui juga, ideologi Marxisme sudah runtuh. Ideologi Liberalisme masih bertahan di Eropah Barat dan di Amerika Syarikat, tetapi dia juga sakit tenat.

            Apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang hanya ulangan apa yang telah berlaku di Pakistan, Algeria, Tunisia, Afghanistan dan lain-lain. Mengapa dengan Islam? Inilah soalan yang berlegar di kepala kita.




            Ingat kembali sejarah. Islam itu agama yang dibawa oleh semua nabi dari Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad (yang menamatkan siri para nabi), untuk menyebut  beberapa nama besar saja. Apabila Nabi Muhammad menamatkan siri ini dengan memperkenalkan kepada dunia Islam yang lengkap dan sempurna, dalam masa 60 tahun bangsa Arab yang dulunya tidak terkenal  melonjak naik dari kuasa nol ke kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar Banzantium, dua kuasa besar dunia pada ketika itu. Beberapa sejarawan Eropah, seperti Robert Briffault, George Sarton dan Philip K. Hitti telah mencatat peritiwa sejarah yang menakjubkan ini. Pada waktu itu, Islam merupakan sebuah ideologi revolusioner, tidak takut mati dan mendukung hidup yang aktif, dinamik dan kreatif. Dalam masa lapan ratus tahun, Islam menciptakan sebuah tamadun yang hebat dan besar.




            Tetapi itu sejarah sekarang. Sementara itu apa sudah jadi?

            Dalam kemelut di Mesir sekarang, dua puak besar bertelagah: puak Ikhwan’ul-Muslimin yang berideologikan agama dan puak sekular yang mahu menampung semua jalur ideologi.
Tidak syak lagi, Mohamad Morsi, presiden Mesir dari puak Ikhwan memenangi pilihanraya dan berhak mentadbir Mesir hingga tamat tempohnya. Namun demikian, dalam masa setahun ia telah mencetuskan penentangan terhadapnya dalam bilangan yang ramai sehingga menyebabkan kebuntuan. Untuk merungkai kebuntuan ini, tentera Mesir telah bertindak mengambil-alih kuasa dengan janji akan mengadakan pilihanraya dan mengembalikan kuasa kepada pihak sivil secepat mungkin. Ini jelas tidak dapat diterima oleh puak Ikwan dan mereka bersumpah akan menentang hingga ke titisan darah yang akhir.

            Inilah krisis Mesir. Bolehkah ideologi Islam mengatasinya?




            Telah kita sebutkan kes-kes kegagalan Islam: di Pakistan, Algeria, Tunisia, Syria, Afghanistan dan sekarang Mesir. Mengapa?

            Jawapannya yang ringkas, kerana perpecahan Islam. Perpecahan kepada dua mazhab besar, Sunni dan Syiah, itu perpecahan klasik. Perpecahan sekarang dari kiri ke kanan, dan masing-masing puak taksub kepada puaknya.

Inilah penyakit Islam. Bolehkah ia diobati? Kata arif, tidak ada penyakit yang tidak ada obatnya.

Umat Islam semuanya hendaklah kembali kepada Quran. Quran itu perlembagaan bagi umat Islam. Ia duduk di tempat yang tertinggi. Tidak ada sumber lain yang sama dengan Quran. Sumber lain (hadis, teologi, falsafah dan sains) duduk di tempat kedua. Yang selaras dengan Quran, terpakai; yang bercanggah, tertolak. Inilah formula yang harus dipakai oleh semua orang Islam. Melalui formula ini, Islam akan kembali menjadi ideologi yang relevan dan kuat. Pada ketika itu pasti umat Islam akan bangkit semula.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia

Isnin, 29 Julai 2013

Lailatul Qadar...Malam seribu bulan..

Malam ini merupakan malam ke-21 Ramadhan. Kita telah memasuki fasa terakhir Ramadhan iaitu 10 malam terakhir. Di antara 10 malam terakhir ini akan hadir malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam Al Qadar. Bagi pemburu-pemburu Lailatulqadar mereka pastinya akan melipat gandakan usaha dalam beribadat.

Sejarah ringkas Malam al-Qadar: Apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadar yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.

BILAKAH LAILATUL QADAR?

 Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.

Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.


Namun, tidak ramai yang ingin menjadi pemburu Lailatul Qadar. Lebih ramai yang mementingkan persiapan hari raya berbanding mempersiapkan diri untuk menemui Lailatul Qadar. Ramai yang tertarik dengan tawaran kedai-kedai pakaian, tawaran potongan 50% di kompleks-kompleks membeli belah berbanding tawaran oleh Allah Yang Maha Pencipta tentang Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

Tawaran ini hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja tidak pada umat-umat lain. Tidakkah kita menghargai pemberian Allah ini?? tidakkah kita peduli tawaran Pencipta kita?? terlalu egokah kita dengan kecintaan terhadap dunia ini... Seharusnya sebagai hamba, kita perlu merain peluang yang diberikan kepada kita oleh Allah S.W.T. Kita umat Muhammad S.A.W yang majoriti hanya berumur 60 hingga 70 tahun. Amat sedikit yang dapat melebihi jumlah ini berbanding umat-umat Nabi terdahulu seperti Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan lain-lain yang berumur ratusan tahun.

Oleh itu hanya Lailatul Qadar dapat memberikan kita kelebihan...